Tuesday, July 28, 2009

Kelebihan tempat ibadat haji Oleh Putera Shith al-Madani

Ibadat haji merupakan kemuncak peribadatan seorang hamba. Namun, hanya segelintir daripada jutaan umat Islam seluruh dunia yang berkesempatan untuk hadir ke Tanah Suci sebagai tetamu Allah melaksanakan ibadat haji pelengkap rukun Islam. Di samping itu, jemaah haji juga dapat menyaksikan pelbagai keagungan dan kelebihan ciptaan Allah khususnya tempat-tempat yang berkaitan dengan ibadat haji itu sendiri.

Maka tidak hairanlah, apabila setiap tahun Tanah Suci Mekah dan Madinah dibanjiri oleh jutaan umat Islam yang datang dari pelbagai pelosok bumi semata-mata ikhlas melaksanakan tuntutan syariat ini dan menziarahi makam Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, kehadiran sebagai tetamu Allah merupakan satu simbolik atas kebenaran firman-Nya: “Dan serulah manusia (wahai Ibrahim a.s.) untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu (yakni Baitullah). (al-Hajj: 27)

Sebagai tempat yang diberkati, Tanah Suci Mekah, al-Masya’ir iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina, Miqat serta Tanah Suci Madinah memiliki fadilat tersendiri yang tidak terdapat di tempat lain. Justeru, kami paparkan kemuliaan dan kelebihannya buat renungan bersama.

Kelebihan Mekah al-Mukarramah:

Mekah adalah paksi bumi dan merupakan penempatan tertua di mana tinggalnya bapa dan ibu sekelian manusia iaitu Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa apabila kedua-duanya dipertemukan semula oleh Allah di Jabal Rahmah selepas diturunkan ke bumi dari syurga. Mekah adalah Tanah Haram sebagaimana sabda Rasulullah SAW “Sesungguhnya negeri ini telah dijadikan oleh Allah sebagai Tanah Haram pada hari Dia menciptakan langit dan Bumi. Mekah adalah Tanah Haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat”. (riwayat Muslim)

Antara kemuliaan dan kelebihan Mekah adalah:

(i)Tempat yang paling disayangi Allah.

Ia bertepatan dengan sabda baginda Rasulullah SAW: “Demi Allah! Sesungguhnya engkau (yakni Mekah) adalah sebaik-baik bumi Allah, dan bumi yang paling disayangi-Nya.” (riwayat al-Tirmizi)

Betapa beruntungnya jemaah haji kerana dapat menjejakkan kaki di bumi yang penuh berkat ini sebagai tetamu al-Rahman. Sesuai dengan status yang mulia ini, setiap jemaah hendaklah memastikan hati dan diri sentiasa suci agar tidak terjerumus ke dalam kemungkaran dan kezaliman. Renungilah firman Allah:

“ Dan barang siapa yang berniat melakukan di Mekah kejahatan dengan cara yang zalim, nescaya kami akan merasakannya dengan azab yang tidak terperi sakitnya”. (al-Hajj: 25)

Rasulullah SAW pula bersabda yang mafhumnya: “Antara golongan yang amat dibenci oleh Allah ialah orang yang melakukan kejahatan di Mekah”. (riwayat al-Bukhari)

(ii)Gandaan pahala mengerjakan amal soleh.

Beribadat di Mekah menjanjikan pahala dan ganjaran yang berlipat ganda. Jemaah haji sewajarnya mengambil peluang keemasan ini dengan menumpukan sepenuh perhatian dan usaha mereka ke arah melakukan amalan solat fardu dan sunat khususnya ketika beribadat di Masjidil Haram. Begitu juga amal soleh yang lain seperti bersedekah. Ibadat tersebut akan digandakan pahalanya sebanyak 100,000 kali.

Sabda Rasulullah SAW: “Solat di al-Masjidil Haram lebih afdal daripada 100 kali solat di masjidku ini (iaitu 100,000 kali di masjid lain)”. (riwayat Imam Ahmad).

Al-Hasan al-Basri meriwayatkan: “Sedekah 1 dirham (di Mekah) lebih baik dari 100,000 dirham, dan setiap kebajikan digandakan sebanyak 100,000 kali”.

(iii)Kaabah & Masjidil Haram.

Kelebihan Mekah begitu sinonim dengan kewujudan Kaabah sebagai rumah ibadat pertama dan kiblat umat Islam. Ia dibina daripada bongkah batu Gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Judi dan Hira’.

Firman Allah: “Sesungguhnya rumah ibadat pertama yang didirikan untuk golongan manusia adalah yang terdapat di Mekah yang penuh keberkatan, sebagai petunjuk kepada sekelian alam”. (ali-‘Imran: 96)

Agar tidak dipersiakan kesempatan ini, jemaah haji wajarlah bersegera ke Masjidil Haram agar dapat mengerjakan tawaf Tahiyatul Bait dan tawaf sunat. Tunaikan solat dan duduk di barisan hadapan agar mereka sentiasa dapat melihat Kaabah.

Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Allah menghapuskan kesalahan orang yang sedang tawaf serta menulis baginya kebajikan”. (riwayat al-Tirmizi).

Sabda Baginda lagi: “Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat pada setiap hari; diturunkan kepada Kaabah ,60 rahmat bagi orang yang mengerjakan tawaf, 40 rahmat bagi orang yang solat dan 20 rahmat bagi orang yang melihatnya. (riwayat al-Tabrani)

(iv)Mustajab Doa

Antara tempat yang mustajab doa ialah di Multazam dan di bawah Mizab. Sambil merapatkan pipi, dada dan dua tapak tangan ke dinding Kaabah, berdoalah dengan penuh keikhlasan dan pengharapan agar segala permintaan diperkenankan Allah SWT.

Tunaikan solat di Hijr Ismail kerana ia juga adalah sebahagian daripada Kaabah. Sekiranya tidak mengganggu jemaah yang sedang tawaf, tunaikan solat dan berdoa di belakang Makam Ibrahim kerana ia juga tempat mustajab doa.

Firman Allah: Dan jadikanlah sebahagian dari Makam Ibrahim sebagai tempat solat. (al-Baqarah: 125)

(v) Hajarul Aswad

Ia adalah kepingan batu yang berasal dari syurga. Jemaah lelaki disunatkan mengucup dan mengusapnya, manakala bagi wanita hukumnya hanyalah harus.

Sabda Rasulullah SAW: “Demi Allah! Dia akan membangkitkan Hajarul Aswad pada hari kiamat, baginya sepasang mata untuk melihat dan lidah untuk berkata-kata; menjadi saksi kepada yang telah mengusapnya dengan kebenaran”. (riwayat al-Tirmizi)

(vi) Telaga Zam Zam

Menurut riwayat, telaga Zam Zam terhasil dari terjahan kaki Nabi Ismail a.s. atau dari kuisan sayap malaikat Jibrail a.s. Ia merupakan sebaik-baik mata air dan penawar yang terdapat di muka bumi. Minumlah secara beradab dan dengan sepuas-puasnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Air Zam Zam itu (fadilatnya) mengikut tujuan apa ia diminum”. (riwayat Ahmad) dan Sesungguhnya Air Zamzam merupakan makanan yang berzat dan penawar bagi penyakit. (riwayat Muslim)

(vii) Bukit Safa & Marwah

Di sini berlakunya perjalanan Hajar mencari manusia untuk membantunya mendapatkan sumber bekalan dan tempat berlindung. Tempat sa’ie ini merupakan syiar Islam sebagaimana firman Allah: “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syiar agama Allah”. (al-Baqarah: 158)

Justeru, ketika berada di kaki bukit ini, berdoalah dengan menghadap ke arah Kaabah seraya mengangkat kedua belah tangan, kemudiannya bertakbir dan bertahmid kerana ia juga merupakan tempat mustajab doa.



Kelebihan al-Masya’ir:

Bumi yang mustajab doa ini merupakan lokasi utama bagi jemaah haji mengerjakan sebahagian daripada amalan-amalan haji mereka. Ia terdiri daripada:

1) Padang Arafah - Ia terletak 21.9km dari Masjidil Haram dan merupakan Tanah Halal. Dengan keluasan 10.4 kilometer persegi, Arafah menerima kehadiran jutaan jemaah haji yang berwukuf pada 9 Zulhijjah setiap tahun. Di sini terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid Namirah.

Sebahagian dari bangunannya terletak di Wadi ‘Uranah iaitu tempat Rasulullah SAW menyampaikan Khutbah Arafah ketika Hajjatul Wada’ pada tahun 10H. Di Arafah juga terdapat Jabal Rahmah yang menjadi tempat pertemuan Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa selepas mereka diturunkan ke bumi, manakala di kaki bukit tersebut terdapat al-Sakhrah iaitu hamparan batu tempat Rasulullah SAW berwukuf .

Wukuf yang merupakan perhimpunan agung tahunan umat Islam menyaksikan pelbagai manfaat dan kelebihan, khususnya kepada jemaah haji. Beribadat dan berdoalah, kerana pada hari tersebut, rahmat dan keampunan sentiasa turun mencurah-mencurah kepada mereka. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia (pada hari Arafah) dan berbangga-bangga di hadapan malaikat perihal kamu dengan firman-Nya : Hamba-hamba-Ku yang berkeadaan tidak terurus telah datang dari segenap pelosok dunia semata-mata mendambakan syurga-Ku. Walaupun dosa-dosa kamu sebanyak bilangan pasir, titisan hujan mahupun buih di lautan, nescaya Aku ampunkan kesemuanya.” (riwayat al-Tabrani)

2) Muzdalifah - Ia terletak 13.9 kilometer (km) dari Masjidil Haram dan merupakan Tanah Haram. Muzdalifah adalah tempat mabit (bermalam) bagi jemaah haji pada malam 10 Zulhijjah. Di sini terletaknya Masjid al-Masy’aril Haram yang merupakan tempat Rasulullah SAW mabit. Ketika mabit di sini, jemaah haji disunatkan mengutip anak-anak batu bagi kegunaan lontaran di al-Jamratul Kubra.

Selain itu, banyakkan doa, zikir dan talbiah. Firman Allah: Apabila kamu berangkat dari Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di Masy’aril Haram (di Muzdalifah). (al-Baqarah: 198)

3) Mina - Ia terletak hanya tujuh kilometer dari Masjidil Haram dan termasuk dalam sempadan Tanah Haram. Mina adalah tempat bagi jemaah haji mabit pada malam hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Di sini terdapat Masjid Khaif yang merupakan tapak perkhemahan Rasulullah SAW serta al-Jamratul Sughra, al-Jamratul Wusta dan al-Jamratul Kubra; iaitu tempat melontar anak-anak batu.

Melontar Jamarat adalah syiar penuh simbolik dalam menzahirkan penentangan dan permusuhan kita dengan syaitan sebagaimana yang dizahirkan semasa peristiwa Nabi Ibrahim a.s. melontar batu ke arah syaitan yang cuba menghalang baginda daripada melaksanakan perintah menyembelih anaknya Ismail a.s.

Maka, lakukan lontaran dengan penuh keikhlasan dan pengertian, agar ia menjadi pemangkin untuk terus beribadat dan mengingati Allah. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya dijadikan lontaran Jamarat itu adalah bertujuan bagi menghidupkan al-Zikr (ingatan) kepada Allah.” (riwayat al-Tirmizi).

Selain itu, bumi Mina juga telah menjadi saksi termeterainya dua Perjanjian Aqabah, iaitu baiah antara Rasulullah SAW dan golongan Ansar pada tahun 12 dan 13 Hijrah.

Kini, Mina dibahagikan kepada tiga kawasan utama iaitu

Mina Jamarat yang terletak berhampiran dengan tempat melontar,

Mina Mu’aisim yang jaraknya lebih kurang tiga km dari jamarat serta merupakan kawasan mabit bagi majoriti jemaah haji Malaysia, dan

Mina al-Marhalah al-Thalithah yang jaraknya lebih kurang lima km.

Sempadan Tanah Haram/Tanah Halal:

Tempat-tempat ini amat penting bagi jemaah yang telah berada di Mekah dan berazam untuk mengerjakan umrah setelah sempurna mengerjakan umrah yang pertama bagi jemaah yang mengerjakan haji tamattuk, atau telah sempurna mengerjakan haji bagi jemaah yang mengerjakan haji ifrad atau qiran.

Ini kerana antara wajib umrah ialah berniat ihram di Miqat atau di mana-mana kawasan Tanah Halal. Antara Tanah Halal yang sering menjadi tumpuan mereka adalah:

1) Tan’im - Ia terletak kira-kira 7.5km dari Masjidil Haram dan dihubungkan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Di sini terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid Aisyah.

Diriwayatkan bahawa Ummul Mukminin Aisyah r.a. berihram umrah di Tan’im setelah beliau mengerjakan haji. Dalam sebuah hadis, Aisyah r.a. berkata: Apabila aku selesai mengerjakan haji, Rasulullah SAW telah mengutus saudaraku Abdul Rahman untuk mengiringiku, lalu Baginda mengarahkan diriku agar berniat umrah dari Tan’im. (riwayat al-Bukhari)

2) Ji’ranah - Sebuah perkampungan yang terletak di Wadi Sarif. Di sini terdapat sebuah masjid bernama Masjid Ji’ranah yang jaraknya kira-kira 24km dari Masjidil Haram.

Sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW telah berihram umrah di Ji’ranah selepas peperangan Hunayn iaitu pada bulan Zulkaedah tahun 8H. Muharrish al-Kalbi meriwayatkan:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah keluar dari Ji’ranah pada malam hari dalam keadaan berihram umrah. Apabila tiba di Mekah, Baginda menunaikan kerja-kerja umrah. Kemudian baginda kembali ke Ji’ranah pada malam yang sama.” (riwayat al-Tirmizi)

Menurut Mazhab Syafie, Ji’ranah merupakan tempat paling afdal berihram umrah bagi penduduk Mekah dan sekitarnya.

Jabal al-Nur dan Jabal Thur:

Dua buah bukit yang mempunyai nilai sejarah yang tersendiri.

Jabal al-Nur yang memiliki ketinggian 281 meter terletak kira-kira 5km dari Masjidil Haram. Di lerengnya terdapat Gua Hira; tempat Rasulullah SAW beribadat dan menerima wahyu Ilahi yang pertama.

Jabal Thur pula terletak hanya empat km dari Masjidil Haram dengan ketinggian 458 meter. Di sini terdapat sebuah gua iaitu tempat Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq r.a. menyembunyikan diri selama tiga malam ketika peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622M.

Demikianlah beberapa kelebihan dan kemuliaan Tanah Suci Mekah dan kawasan sekitarnya buat tatapan bakal jemaah haji. Semoga ia menjadi pendorong kepada mereka untuk hadir, dan sekali gus mempertingkatkan ibadat serta amal soleh demi mengejar ketinggian darjat sebagai hamba dan tetamu Allah yang dirahmati.

No comments:

Post a Comment