Saturday, September 12, 2009

TRADISI MASJID BARAKAH TAMAN BDC KUCHING SELATAN


Sejak 12 tahun yang lalu, para jemaah Masjid Barakah Taman BDC mengamalkan pembacaan Kitab Suci al-Quran beramai-ramai setiap kali selepas solat Maghrib, Isha dan Subuh. Majlis Khatam al Quran akan menyusul setiap kali tamat 30 juzuk pembacaan.

Pada pagi ini, Sabtu 12 September 2009, setelah selesai solat Subuh, Tuan Imam Asri meneruskan tradisi bacaan dan terjemahani, satu mukasurat pada tiap kali pembacaan, Surah Hud dari ayat (98 ) hingga ayat (108).

Dimuatkan di bawah ini petikannya yang saya ambil dari Mushaf Malaysia Rasmi Uthmani, terbitan Darulfikr, 329B, Jalan Abdul Rahman Idris, off Jalan Raja Muda Abdul Aziz, 50300 Kuala Lumpur, dengan izin dan di bawah kawalan JAKIM, Pusat Islam Malaysia, Jalan Perdana, K.L., Cetakan Ke-12 - Mei 2001 ( Safar 1422):-

(98) Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat, kemudian tetaplah ia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.

(99) Dan mereka diiringi oleh la'nat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat.
( Sebenarnya) la'nat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.

(100) Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar penduduk negeri-negeri ( yang telah dibinasakan). Kami ceritakan perihalnya kepada mu ( wahai Muhammad ). Diantaranya ada yang masih wujud ( sisanya yang dapat disaksikan) , dan ada pula yang telah hancur lebur ( dan hilang lenyap ).

(101) Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka.

(102) Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa ( penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi lama; keras serangannya.

(103) Sesungguhnya pada kejadian yang demikian, ada tanda ( yang mendatangkan i'tibar ) bagi orang yang takut pada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.

(104) Dan tiadalah Kami lambatkan hari kiamat itu melainkan untuk suatu tempoh yang tertentu .

(105) (Pada) masa datangnya ( hari kiamat itu ), tiadalah seorang pun dapat berkata-kata
( untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia.

(106) Adapun orang-oang yang celaka ( disebabkan oleh keingkaran dan ma'siatnya), mereka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu ( seperti suara keldai).

(107) Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi (*370) , kecuali apa yang dikehendaki oleh TuhanMu (*371). Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.

(108) Adapun orang-orang yang berbahagia ( disebabkan imannya dan ta'atnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalam nya selagi ada langit dan bumi (*372), kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu (*373), sebagai pemberian ni'mat yang tidak putus-putus.

TAKRIF:

(*370) - " Selagi ada langit dan bumi", ya'ni mereka kekal di dalam neraka selama-lamanya. Langit dan bumi yang dimaksudkan disini ialah langit dan bumi pada hari akhirat, kerana langit dan bumi yang ada sekarang tidak kekal selama-lamanya, bahkan akan diganti dengan langit dan bumi yang lain, seperti yang tersebut dalam Ayat 48 Surah Ibrahim.

(*371) - Ya'ni kecuali sebarang perubahan yang dikehendaki Allah, maka tetaplah ia akan berlaku.

(*372) - Ya'ni mereka kekal di dalam Syurga selama-lamanya dengan mendapat ni'mat yang tidak putus-putus.

(*373) - Ya'ni kecuali sebarang perubahan yang dikehendaki Allah, untuk menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka.

Yang lemah ialah saya yang menaipnya dan Yang Maha Gagah ialah Allah s.w.t. jua.


**********

No comments:

Post a Comment