Wednesday, October 28, 2009

SEMPENA HARIJADI KE59

Segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam. Salawat dan salam untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Hari ini 27 Okt 2009 ulang tahun kelahiranku yang ke 59 tahun. Sepanjang tempoh 59 tahun itu aku lalui tanpa sebarang dugaan yang kuat dari Allah. Aku pohon semoga Allah swt permudahkan segala urusanku baik dunia mahu pun akhirat berlangsung dengan penuh rasa kasih sayang Nya jua hingga akhir hayat.

Biar semasa kedua Almarhum Ayahnda dan Almarhumah Bonda masih ada sehingga wafat keduanya, adik-beradikku yang 6 orang, isteri dan anak-anak yang 4 orang, semuanya lancar dilalui dengan izinNya jua.

Persekolahanku setakat SPM di SMK Kampong Baru, Bukit Mertajam (SMKKB). Ada yang kata SMKKB tu ialah sekolah menengah kebangsaan kubang babi dan sekolah menengah kebangsaan karat besi. Ada asasnya. Pertama nya sekolah ini didirikan di kawasan penempatan kaum Tionghua yang tradisinya penuh dengan aktiviti pemeliharaan babi dan babi-babi dilepas berkeliaran bebas di sekelilingnya. Aku adalah diantara murid yang bertugas menimbus kubang-kubang babi yang penuh bertaburan di sekitar padang dan sekitaran sekolah. Azab juga lah.

Keduanya warna seluar dan gaun uniform pula dipilih warna coklat yang seakan-akan sama dengan warna karat besi. Tapi aku puji semua guru-gurunya yang bersemangat tinggi untuk membuktikan bahawa sekolah menengah aliran Melayu juga setanding dengan sekolah lain-lain aliran seperti BM High School, Jit Sin atau pun Convent, yang suatu hari nanti akan melahirkan pemimpin-pemimpin berwibawa. YB Dato Haji Mohd Shariff Omar, mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang adalah seorang darinya .

Aku kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur mengikuti ayah yang menjadi penjaja kaki-lima di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Aku mengambil kelas lanjutan di Sekolah Menengah Jalan Storney Kg baru KL. di peringkat STP melalui kelas malam.

Aku mulai kerjaya ku dengan menjawat jawatan kerani persekutuan pada tahun 1970 bertempat di Kementerian Pelajaran di Rumah Persekutuan, Kuala Lumpur. Lima tahun kemudian aku di naik pangkat sebagai Pegawai Kerja ( Executive Officer ) dan di tempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam, Bangunan UMBC Tingkat 14 bersama-sama rakan-rakan yang lain di Bahagian Latihan dan Kerjaya.

Dua Tahun kemudian aku mendapat peluang bertugas diluar negeri iaitu di jJbatan Penuntut-Penuntut Malaysia, Wellington New Zealand iaitu sekitar tahun 1979. Aku disana selama 3 tahun. Di New Zealand aku dan isteri mendapat kurniann Allah yang sangat-sangat kami nanti iaitu cahaya mata. Dua orang anak kami lahir disana iaitu Akmal pada tahun 1979 diikuti Aswadi pada tahun 1980. Rohayati dan Ariff lahir di KL. Rohayati also made in New Zealand but deliver in Malaysia.

Aku terperanjat bila seorang anak buah aku menjelaskan bahawa AKMAL itu maksudnya : Anak Kerajaan Malaysia. Tapi sebenarnya kami bersyukur dapat jadi rakyat Malaysia. Aku rasa semua orang bangga dapat jadi rakyat Malaysia. Ramai orang asing pun berebut-rebut nak jadi rakyat Malaysia. Samaada cara halal atau pun cara haram.

Selepas 3 tahun di New Zealand, aku balik ke Malaysia dan di tempatkan Di Pusat Rekod JPA, bangunan WismaPKNS Jalan Raja Laut.

Tahun 1984 aku masuk berkhidmat dengan Wisma Putra. Penempatan aku yang pertama di Wisma Putra ialah di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Papua New Guinea, Port Moresby. Ambassador pertama yang aku bertugas ialah YBhg Dato' Kamaruddin Abu. Sebulan kemudian di gantikan oleh Ambassador B. Rajaram.

Lain padang lain belalang. Lain airport lain kapalterbang. Pepatah yang selalu aku gunakan semasa bergurau dengan kawan-kawan. Ialah. PNG is land of unexpected , unpredictable also. Macam-macam pengalaman aku dapat temui. Tribal clashes, wife bashing, student riots, mixing with diplomatic community, pergaulan dengan Muslim Community , kena baling batu semasa memandu dan sebagainya. Macam cerita zaman jahilliah sebelum kedatangan nabi Muhammad saw di Tanah Arab. Aku juga berpeluang melawat ke Port Vila di Vanuatu semasa mengiringi TYT Duta Besar menyampai watikah surat Tauliah Perlantikan kepada Governor Vanuatu.

Dari Panua New Guinea aku bertukar pula ke Pulau Temasik ( Sinagpura laa tu ). Lama aku di sana. Mula-mula sampai , aku melapor diri kepada Ambassador K.T. Ratnam. Selepas itu Dato' Zainal Mokhtar. Diikuti dengan Ambassador Datuk Emam Mohd Haniff dan akhir sekali Ambassador Dato' Salim Hashim.

Puas rasanya tinggal di Singapura. Semasa aku masih lagi belum dewasa, semasa perpisahan Singapura dari Malaysia tahun 1965 , aku sangat kesal, kerana Singapura telah menjadi sebuah negeri asing. Aku belum lagi sampai ke Singapura. Hendak ke Singapura mesti guna passport. Aku pula orang susah. Boleh kah aku menjejaki kaki ke Singapura yang asalnya tanah airku. Kini menjadi negeri orang. Kerenah politik belaka.

Rasa syukur yang amat sangat kepada Ilahi, dengan kurniaNya aku berada di Singapura dari tahun 1990 hingga tahun 1997. Lama kan? Pecah rekod. Setiap hujung pasir yang ada di Singapura tu aku dah sampai. Lagi sekali Alhamdulillah.

Selepas berkhidmat di Singapura, aku balik ke Wisma Putra selama 1 tahun sebelum dihantar pula ke Pulau Serendib. Dimana Serendib ni??.....Sri Lanka yang dulunya zaman British diberi nama Ceylon. Serendib di pakai semasa zaman Ibn Battuta dan Admiral Cheng Ho.

Aku di Sri Lanka dari tahun 1999 hingga Julai 2002. Colombo nama ibu negerinya. Colombo sebuah kota yang cantik. Macam pulau Pinang. tepian laut India. Angin segar dan bersih bertiup tanpa henti. Galle Face, Nigombo, Kandy, Nuara Elya, Dehiwala, Matarra, Maharagama, Kote adalah nama-nama yang masih segar dalam ingatan. Pengalaman pertama berdepan dengan serangan LTTE ku alami seminggu selepas sampai. Yang terbunuh ialah Thiruchelvam seorang ahli kabinet keturunan India. Aku dapat melihat segala ceraian daging manusia bertaburan disekitar tempat kejadian. Taburan daging itu semuanya berakhir sebagai makan burung gagak yang sangat banyak dan lapar.

Tiga tahun kemudian aku dihantar pula ke Washington DC. Macam mimpi. Aku dah sampai di bumi Amerika pulak. Aku budak kampong. Ulu pula tu. Kampong Juru, Bukit Mertajam. Ramai kanak-kanak disitu mengalami sakit cacing dalam perut. Sekali lagi Alhamdulillah. Bertuah rasanya diri ini. Aku dapat menundukkan dahi aku sujud kepada Allah yang Maha Kuasa di Bumi Amerika pula. Tuah ayam nampak di kaki.

Kedutaan ini mempunyai perjawatan yang besar. Duta Besarnya memang terkenal dengan workholicnya. Jabatan-jabatan yang ada disini selain Wisma Putra ialah JPM, MNDEF, MITI, MSD, MRCP, MPOB, PETRONAS dan MARA. Pejabat UN pula di New York. 4 tahun aku di DC. Dapat juga aku rasai bagaimana salji jatuh atas kepala ni. Pengalaman memandu kereta dalam sajli. Main luncur salji. Dapat juga aku melawat ke Kanada dan paling ku hargai ialah peluang melawat ke Niagara Falls. Lawatan pertama kesitu ialah dengan memandu kereta nasional Proton Wira 1.6XL. The only proton car in US during my time. Rasanya setanding dengan kereta yang lain. Kemudiannya aku singgah sekali semasa aku Yati dan Ariff membuat lawatan ke Kanada.

Bersara dari perkhidmatan pada Oktober 2006 Ramadan 1427 Hijrah. Semasa hari-hari terakhir aku di DC, aku mendapat Duta Besar yang baru. Seorang iron lady. Nyaris-nyaris aku sambung lagi perkhidmatan selepas bersara di US. Duta Besar enggan melepas aku untuk bersara dengan alasan banyak lagi kerja-kerja aku yang belum selesai. Pada pendapat aku semua kerja tidak akan habis-habis hingga kita mati. Selesai satu tugas, kita akan berdepan dengan tugas yang lain pulak. Sebab itulah, awal-awal lagi aku dah katakan: lain padang lain belalang.

Dalam kotak fikir ku ni, aku membayangkan suasana selepas bersara, dimana aku akan tinggal di Taman Ehsan Kepong Selangor dan meneruskan aktiviti kemasayarakatn dengan masyarakat disekeliling aku di Taman Ehsan. Walau pun aku sentiasa di luar negeri, aku tetap anggota masyarakat di situ.

Tapi takdir Allah siapa yang yang tahu. Tuah burung nampak dikaki. Aku tak jadi duduk di Taman Ehsan. Aku melangkah kaki pula ke Sarawak Bumi Kenyalang. My the other half bertukar tempat kerja ke Kuching. Aku pun ikut saja sebagai spause pula. Cari pengalaman baru. Belum pernah lagi aku jejak kaki ke Kuching. Kami sampai sini tahun 2007 dan jangkaan akan berada di sini lagi 2 tahun.

Di Kuching banyak tabuan. Ada Tabuan Jaya, Tabuan Melayu, Tabuan Lalang, Tabuan Cina, Tabuan Hulu, Tabuan Dayak, Tabuan Laru dan Tabuan Dusun. Aku tinggal menyewa rumah di Penempatan Taman Tabuan Dusun. Suasananya aman dan tiada bising. Pesawat yang turun ke Kuching International Aairport dapat dilihat dari rumah aku. Kata kawan aku Haji Yazid, "hang jangan cari tebuan tanah sudahlah. Kena sengat hang mampoih".

Setakat inilah dulu coretan untuk kali ini. Insha Allah ilham akan menjelma lagi. Salam dari Kuching.


**********

No comments:

Post a Comment