Friday, December 18, 2009

Air Musoffa, Air Zam-zam



Assalammualikum,

Setelah beratus tahun air zam-zam mencurah ke muka bumi, memenuhi keperluan jiran-jiran Ka'bah dan tetamu Allah, datang masanya ia lenyap dan tidak dapat dikesan.

Peristiwa itu berpunca daripada datangnya kaum Khuzaah dari Saba' (Yaman) yang ingin bertempat tinggal di sekitar Ka'bah. Tetapi bangsa Jurhum dan kaum lain tidak membenarkannya. Pada mulanya orang-orang Khuzaah patuh pada penolakan itu dan hanya tinggal di luar Makkah. Walau bagaimanapun, kaum pendatang ini tidak tinggal diam kerana mereka ingin juga bersama-sama memakmurkan Ka'bah dan ingin mendapat air yang memuaskan.

Perbalahan dan peperangan pun terjadi antara penduduk asal Makkah dengan kaum Khuzaah yang semakin lama memperlihatkan kaum Jurhum akan kalah. Diantara bangsa Jurhum, ada yang berfikiran sekiranya kaum Khuzaah itu dapat menguasai Makkah dan Ka'bah, sekiranya tidak dapat bekalan air yang memuaskan, mereka akan cepat keluar.

Orang cerdik yang bernama Mudhad ini keluar pada waktu malam dengan senyap-senyap lalu dikoreknya telaga zam-zam menperdalamkannya. Kemudian dia masuk ke dalam Ka'bah dan megeluarkan segala harta Ka'bah yang dihadiahkan orang . Barang-barang Ka'bah termasuk ketulan emas, pedang dan lain-lain itu disembunyikannnya ke dalam telaga zam-zam lalu ditimbusnya telaga zam-zam itu sehingga rata dengan tanah disekitarnya.

Apabila kaum Khuzaah memasuki Makkah, mereka tidak dapat mengesan di mana letaknya telaga zam-zam kerana semua permukaan tanah di sekitar Ka'bah kelihatan sama. Mudhad telah membuatnya begitu terancang. Walau bagaimanapun kaum Khuzaah dapat meguasai Makkah selama 500 tahun lamanya, walau tanpa bekalan air dari telaga zam-zam. Sedang untuk menyediakan keperluan air bagi jemaah haji yang datang ke Kaabah, mereka terpaksa mengangkut dari perigi lain yang jauh.

Pada tahun 400 masihi yakni setelah 500 tahun Makkah dan Ka'bah dikuasai Khuzaah, kaum Quraisy dapat menguasainya semula. Qusai bin Kilab datuk kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang ke-4 dapat merebut kunci Kaabah dari kaum Khuzaah dengan kecerdikannya. Beliau pulalah yang menjadi penguasa Makkah dan Ka'bah dari kalangan kaum Quraisy sebaik saja Kota Suci itu direbut semula dari kaum khuzaah.

Setelah Qusai wafat, jawatannya diganti oleh puteranya yang bernama Abdu Manaf bin Qusai sehingga sampai kepada datuk kepada Nabi s.a.w. yang bernama Abdul Muttalib bin Hasyim. Walaupun sudah hampir 100 tahun, kaum Quraisy berkuasa, namun perigi zam-zam masih tetap tertimbus tidak dapat dikesan. Apalagi generasi Qusai ke bawah hanya mendengar cerita turun temurun tentang wujudnya perigi yang sudah lenyap 400 tahun yang lalu itu.

Apabila Abdul Muttalib memegang jawatan pengetua pengurusan ke atas Makkah dan Ka'bah, beliau merasa memiliki tanggungjawab yang sangat berat. Terutama sekali menyediakan air untuk keperluan jemaah haji yang jumlahnya semakin ramai dari tahun ke tahun. Terfikir oleh beliau, sekiranya perigi Zam-zam yang sudah lebih 500 tahun tertimbus itu, dapat dijumpai semula, alangkah baiknya. Beliau tidak putus-putusnya berdoa kepada Allah s.w.t. semoga perigi warisan nenek moyangnya Nabi Ismail alaihissalam itu muncul semula.

Suatu ketika beliau bermimpi atau mendapat isyarat ghaib agar menggali perigi Zam-zam itu di suatu tempat berhampiran Hijir Ismail. Isyarat ghaib itu menunjukkan tempat yang mesti digali di antara berhala isaf dan nailah. Isyarat itu datang kepada Abdul Muttalib berkali-kali sehingga membuat datuk kepada Nabi Muhammad s.a.w.itu merasa amat yakin.

Mulailah Abdul Muttalib mengorek tanah ditempat yang diisyaratkan dengan dibantu oleh seorang anak lelakinya (ketika itu dia baru mempunyai seorang anak sahaja). Pada mulanya orang Quraisy ramai yang mengejek tindakan Abdul Muttalib itu akan sia-sia dan hanya membazir masa dan tenaga saja. Sebab perigi Zam-zam yang dikatakannya pernah wujud di sekitar Ka'bah itu sudah lenyap sejak 500 tahun yang lalu.

Tidak ada sesiapa yang mengetahui dan mereka hanya mendengar cerita mengenainya dari mulut-ke mulut yang dituturkan dari generasi ke generasi. Akan tetapi apabila Abdul Muttalib betul-betul menemui kesan perigi itu, mereka mengucapkan syabas dan ramai yang datang menolongnya. Beberapa ketul emas dan senjata turut ditemui di dalam perigi zam-zam itu di serahkan kepada Ka'bah. Ketulan-ketulan emas itu cukup banyak dileburkan dan dijadikan pintu Ka'bah.

Sekarang ini, setiap hari ratusan ribu liter air zam-zam dikeluarkan untuk diminum oleh kaum Muslimin samada yang datang ke Ka'bah, disamping untuk kegunaan di Makkah, dihantar juga ke Ta'if, Madinah dan juga sebagai buah tangan jemaah Haji dan Umrah.

Jumlah itu mencapai jutaan liter setiap hari jika di bulan Ramadhan dan musim haji. Walau demikian , air Zam-zam tidak habis atau berkurangan. Itu adalah Anugerah Allah.

Pakar saintis , ahli perubatan telah menjalankan kajian yang menunjukkan keistimewaan khasiat yang terdapat dalam air Zam-zam yang tidak terdapat di dalam air-air yang lain puncanya.

Mohd Saipuddin ( Forum Perbincangan Penerbtan An'Nuqman).

No comments:

Post a Comment