Sunday, November 7, 2010

Rumah Termahal Dunia

Rumah termahal dunia


MUKESH bersama isteri dan tiga anaknya.


BAYANGKAN dengan jumlah wang AS$1 bilion (RM3.1 bilion) pasti terlalu banyak perkara yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu. Jumlah tersebut mungkin menyamai pendapatan tahunan negara-negara miskin seperti Somalia dan Tibet.

Malah wang sebanyak itu menyamai separuh dari jumlah kekayaan yang dimiliki oleh orang Melayu terkaya di negara ini Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari yang mencecah hampir AS$2 bilion (RM6.2 bilion).

Namun bagi bilionair India yang juga manusia keempat terkaya dunia Mukesh Ambani, wang sebanyak itu dikatakan diguna hanya untuk membina sebuah rumah untuk kediamannya sekeluarga.

Rumah setinggi 27 tingkat lengkap dengan pelbagai kecanggihan dan teknologi terkini mungkin dilihat agak melampau. Namun dengan kekayaan berjumlah AS$29 bilion (RM90 bilion) jumlah tersebut hanya sekelumit untuk dibelanjakan.

Apatah lagi dengan jangkaan Forbes bahawa Mukesh akan menewaskan Bill Gates pada 2014 sebagai manusia terkaya dunia pastinya rumah ini akan dijadikan penanda aras kekayaan yang akan beliau perolehi dalam tempoh mendatang.

Bercerita tentang rumah beliau, memang tidak tercapai dek akal tentang segala kemudahan yang ada. Rumah berkenaan yang diberi nama Antilia bakal didiami oleh keluarga Mukesh yang terdiri dari isterinya Nita Ambani bersama tiga anak mereka Akash, Anant dan Isha hujung bulan ini.

Keluarga ini dijangka berpindah selepas majlis pembukaan rumah mereka diadakan pada 28 November depan yang dijangka dihadiri seramai 200 orang jemputan rapat. Rumah tersebut yang terletak di Jalan Altamount, di tengah-tengah bandar Mumbai dikatakan mempunyai keluasan 48,780 kaki persegi dengan ketinggian 173 meter.

Nama rumah tersebut dipilih mengikut nama sebuah pulau mistik di Atlantik dan ia direka bentuk oleh syarikat arkitek yang beribu pejabat di Chicago Perkins & Will.

Bermula dari bawah terdapat enam aras bawah tanah yang disediakan hanya sebagai tempat meletak pelbagai jenis kereta yang dimiliki selain untuk tetamu. Di bahagian paling atas pula terdapat landasan helikopter yang boleh memuatkan tiga buah pesawat itu pada satu-satu masa.

Trafik udara

Terdapat sembilan buah lif di dalam rumah tersebut dan bagi ahli keluarga, lif berbeza disediakan. Selain itu sebuah dewan besar, bilik teater yang boleh memuatkan 50 orang dan sebuah yang bertaraf lima bintang disediakan. Manakala di bahagian luar pula kamera keselamatan disediakan disetiap penjuru dengan disertai pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata. Di bahagian atas pula sistem kawalan trafik udara peribadi disediakan untuk pemantauan.

Malah dikatakan salah sebuah tingkat di rumah itu mempunyai sistem yang membolehkan empat musim ditukar mengikut selera. Lebih menarik lagi dijangkakan seramai 600 pekerja akan ditempatkan di bangunan ini bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

Memang melampau cara yang ditunjukkan oleh Mukesh bagi menunjukkan kekayaannya. Namun baginya, Mukesh tidak peduli apa orang lain kata.

Bagi penulis buku Mahabharata in Polyester, The Making of the World Richest Brothers and Their Feud, Hamish McDonald, Mukesh dilaporkan pernah berkata , “Saya seorang yang kaya, saya peduli apa dengan apa yang anda fikirkan,”.

Malah terdapat versi yang menyatakan tujuan utama beliau membina rumah tersebut adalah bagi menunjuk-nunjuk kekayaan dan kejayaan beliau terhadap adiknya Anil Ambani yang juga manusia ke 34 terkaya di dunia.

Nasib malang yang menimpa Anil pada tahun 2008 akibat kehilangan AS$33 bilion (RM102 bilion) ketika dunia dilanda krisis ekonomi ketika itu telah menjarakkan kekayaan dua adik beradik ini.

Namun bagi penduduk di sekitar kawasan itu mereka melihat apa yang dilakukan oleh Mukesh sebagai keterlaluan dan mereka bimbang dengan pencemaran bunyi yang akan berlaku berpunca dari helikopter miliknya.

Bagi seorang penduduk miskin tidak jauh dari rumahnya, Sushala Pawar yang memperoleh pendapatan AS$90 (RM279) sebulan, cara yang ditunjukkan Mukesh agak melampau namun ia juga sebagai pembangkit semangat untuk orang mencapai status sepertinya.

Namun dengan jumlah penduduk seramai 20 juta dan 62 peratus darinya hidup di bawah paras kemiskinan, apa yang dilakukan oleh Mukesh ini pasti dicemburui oleh mereka yang terpaksa merempat dan tinggal di kawasan setinggan yang terlalu hodoh untuk digambarkan.

Apatah lagi Mukesh mungkin tidak perlu menjejakkan kaki ke tanah rumahnya sesuatu yang dilihat sebagai terlalu bongkak dan sombong bagi jutaan orang yang terpaksa menyelongkar tong sampah hanya untuk meneruskan hidup mereka.

************

No comments:

Post a Comment