Sunday, September 11, 2011

Lagi kes sikap angkuh keluarga kaya di China



10 Sep 2011


Anak jeneral memukul sepasang suami isteri

BEIJING: Seorang jeneral tentera di China telah meminta maaf bagi pihak anak lelakinya, yang telah memukul dengan ganas sepasang suami isteri, dalam skandal terbaru melibatkan 'generasi kedua kaya' di negara itu.

Menurut akhbar Global Times, polis telah menahan, Li Tianyi, 15 tahun, pada Selasa lalu di Beijing selepas para saksi mendakwa dia dan seorang rakannya keluar daripada kereta sports mereka dan memukul seorang wanita dan lelaki selama tiga minit, dengan diperhatikan anak mereka.

Li dilaporkan tidak mempunyai lesen memandu dan kereta BMW yang dipandunya pula tidak mempunyai plat lesen.

Wanita yang dipukul oleh Li dan rakannya yang dikenal pasti sebagai Cik Su, memberitahu akhbar itu bahawa suaminya terpaksa menerima sembilan jahitan di dahi dan dua jahitan di belakang kepalanya.

Suaminya turut cedera di hidung dan mata kanannya.

Para saksi menyifatkan Li dan Su sebagai pembuli di jalan raya.

'Siapa yang berani telefon polis?,' mereka teriak kepada para saksi sebelum mereka cuba melarikan diri.

Kedua-dua remaja itu bagaimanapun kemudian ditahan penduduk setempat.

Namun, seorang peguam berkata Li tidak akan didakwa kerana dia belum lagi mencapai usia 16 tahun.

Kejadian itu telah mencetuskan kecaman di Internet, dengan gesaan agar Li dihukum.

Para pengguna Internet melahirkan rasa meluat ke atas perbuatan menindas dan sikap angkuh yang ditunjukkan oleh para pegawai kanan pemerintah dan anggota keluarga mereka.

Jeneral Li, 72 tahun, seorang penyanyi yang terkenal dan dekan di jabatan muzik di Akademi Seni PLA di Beijing, telah meminta maaf dan menawarkan pampasan kepada pasangan itu.

'Sebagai seorang ayah, saya bertanggungjawab atas kelakuan anak lelaki saya. Saya rasa sangat kesal dan saya sekarang lebih rela dipukul oleh anda. Saya tidak menyokong kesalahan anak lelaki saya dan saya akan menawarkan pampasan,' katanya.

Dalam skandal serupa tahun lalu, anak lelaki seorang pegawai polis yang berusia 22 tahun, cuba menggunakan pangkat ayahnya untuk melarikan diri dari tapak kemalangan.

Suspek telah melanggar seorang pelajar, yang telah meninggal dunia di tapak kejadian di wilayah utara Hebei.

Dia bagaimanapun dengan angkuh memekik:

'Saman saya jika anda berani. Nama ayah saya Li Gang!'

Lelaki itu bagaimanapun kemudian dijatuhi hukuman penjara enam tahun. -- AFP..

sumber Berita Harian Spore.

No comments:

Post a Comment